Mentor Perlukan Lebih Masa Bersama Protege

“Luangkan lebih masa bersama para protege kerana mereka boleh lakukan persembahan dengan lebih baik lagi.” Ini merupakan kata-kata Datuk Syafinaz selaku juri tetap Mentor Milenia 2019 kepada para mentor Black, Hazama, Akim, Stacy dan Ernie Zakri sejurus persembahan konsert pertama Mentor Milenia 2019.

Konsert pertama Mentor Milenia 2019 begitu gamat dengan sorakan penyokong daripada setiap protege bermula dengan protege kepada Akim iaitu Ryan Que membawakan lagu ‘makanan’ beliau, Kembali Terjalin nyanyian asal Slam. Diikuti protege kepada Ernie Zakri, Yazrul Arrep dengan lagu Seribu Tahun nyanyian asal oleh Imran Ajmain.

Menariknya protege kepada Black iaitu Bulan yang mempunyai darah kacukan India dan Melayu telah memberikan lagu istimewa bersempena sambutan Deepavali. Beliau berjaya menarik perhatian ramai dengan lagu  Amalina nyanyian asal Santesh yang menggabungkan Bahasa Malaysia dan Tamil. Arayn Malik, anak didik Hazama pula menyusul dengan lagu Zalikha (kumpulan asal Floor88). Persembahan beliau amat bertenaga tetapi beliau terlupa lirik dipertengahan persembahan dan mendapat teguran daripada Datuk Syafinaz dan Altimet selaku juri tetap.

“Sumandak” Sabah Rika Riana dan Sharee Lopes kemudiannya mengambil alih pentas dengan persembahan yang memukau. Rika Riana protege kepada Stacy berjaya membawakan lagu Sakit oleh iamNEETA dengan baik sekali sehingga mendapat pujian para juri dan menempatkan beliau di top three. Manakala Sharee Lopes (protege Akim) yang sering disamakan dengan Dayang Nurfaizah oleh para netizen menjuarai konsert pertama ini dengan lagu Bukan Dia Tapi Aku (nyanyian asal Judika).
Kehangatan konsert pertama ini diteruskan dengan persembahan protege kepada Ernie Zakry iaitu Daus Husny. Lagu Kau Bunga Cintaku (penyanyi asal Anuar Zain) berjaya mengejutkan Altimet yang menyangka beliau akan menyanyikan lagu balada. Sementara itu, persembahan Aedy Kama yang merupakan protege Black menunjukkan persembahan yang kurang memuaskan kerana terlalu berhati-hati ketika berada di atas pentas. Munurut juri tetap, beliau kurang penghayatan terhadap lagu Sambutlah Kasih (penyanyi asal kumpulan Lovehunters) yang dibawakan pada malam itu.

Apex Tajudin (protege Hazama) yang tular di YouTube ketika persembahan top 20 masih lagi berbisa dengan dendangan lagu Selamanya nyanyian asal Usop yang juga merupakan protege kepada Hazama di Mentor Milenia 2017. Protege kepada Stacy iaitu Remy Manaf telah membawakan lagu Kau Sakiti (penyanyi asal Amir Masdi) berjaya menarik hati juri menerusi persembahan versatil.

Konsert pertama Mentor Milenia 2019 diakhiri dengan persembahan oleh Usop dengan lagunya Aku Yang Bersalah serta medley Luar Biasa & Jampi daripada 10 protege Mentor Milenia 2019. Juara bagi konsert pertama ini ialah Sharee Lopes yang merupakan protege kepada Akim.
Debaran kian terasa pada minggu hadapan apabila para protege perlu battle untuk selamat dari penyingkiran. Battle yang akan ambil tempat minggu hadapan akan menentukan siapa bottom two. Mereka yang berada di tangga tercorot perlu battle sekali lagi dan dari persembahan tersebut, para juri perlu singkirkan seorang protege.
Berikut adalah nama pasangan battle minggu hadapan:

  1. Sharee Lopes (Akim) VS Aedy Kama (Black)
  2. Daus Husny (Ernie Zakri) VS Ryan Que (Akim)
  3. Rika Riana (Stacy) VS Bulan (Black)
  4. Apex Tajuddin (Hazama) VS Yazrul Arrep (Ernie Zakri)
  5. Remy Manaf (Stacy) VS Arayn Malik (Hazama)

Pemarkahan para protege pada musim ini dibahagi kepada dua iaitu markah persembahan 60% dari pihak juri profesional dan 40% undian awam. Undian boleh dibuat menerusi laman sesawang https://www.xtra.com.my/mentormilenia.
Mentor Milenia dibawa khas oleh penaja utama KFC, Sedap Hingga Menjilat Jari dan penaja bersama, OPPO A9 2020, 48MP Kuad Kamera, 8GB RAM + 128GB ROM.
Pihak produksi Mentor Milenia 2019 diketuai oleh Muhamad Sufian Isa selaku Penerbit Eksekutif dan Aeizul Reeza Bin Ismail selaku Penerbit.
Saksikan Mentor Milenia setiap hari Ahad, pukul 9.00 – 11.30 malam selama 10 episod dan dihoskan oleh Shuk Sahar, Elly Mazlein dan Zetty (Hot FM). Untuk maklumat lanjut, boleh ke laman sesawang http://www.xtra.com.my/mentormilenia.
























0 Reviews

Write a Review