7 Hari Kisah Cinta Langkawi

Qplex Communications Sdn Bhd bersama Point Studios (dengan kerjasama Point College) telah menerbitkan filem sulung mereka bertajuk 7 Hari (LOL) Kisah Cinta Langkawi, karya dan arahan Anwardi Jamil. Filem ini dibintangi Josiah Hogan, Peter Davis, Mark Adam, Amai Kamarudin, Shaharuddin Thamby dan Sharifah Shahirah. Pelakon-pelakon baru Chi Azim, Tengku Norsaili dan Tengku Rhea juga turut diperkenalkan dalam filem komedi-romantik ini.

95 peratus filem ini telah dilakukan di Pulau Langkawi, Kedah dan menerima sokongan resort Pondok Keladi dan Cassa Kaseh Guest House dan juga LADA (Langkawi Development Authority). Antara lokasi-lokasi di Langkawi yang dipaparkan dalam filem ini adalah Pantai Cenang, Pantai Kok, Tanjong Rhu, Kuah dan Skycab Langkawi.

Filem ini arahan Anwardi yang ke 5 (Tuah, Ah Lok Kafe, Budak Lapok, Kerja Kahwin) dan merupakan filem romantik-komedi yang pertama beliau hasil lakonlayar karya Anwardi bersama Sarah Tang Yen Yen.

7 HARI KISAH CINTA LANGKAWI merupakan filem Genre Komedi Romantik yang sesuai untuk tontonan golongan remaja di era media. Ia berkisahkan seorang vlogger popular bernama Adira (dijayakan oleh Chi Azim) yang menggunakan nama vlog Diva Asmara yang kerap memuatnaik kata-kata nasihat dan motivasi kepada pengikutnya tentang permasalahan cinta remaja serta bagaimana mengatasinya.

Apabila beliau menerbitkan buku bertajuk Cara Memikat Lelaki Dalam 7 Hari, seorang lagi vlogger di Langkawi bernama Joe (dijayakan oleh Josiah Hogan) mencabarnya untuk membuktikan keberkesanan sistem yang disarankan dalam bukunya. Adira enggan melayan cabaran tersebut tetapi pembantu peribadinya, Eli (dijayakan oleh Tengku Norsaili) mendesak Adira untuk menyahut cabaran yang telah menjadi viral di media social.

Cabaran yang dilontarkan kepada Adira bukanlah untuk Joe jatuh cinta dengannya dalam 7 hari tetapi untuk Adira menawan kawan Joe bernama Ben (dijayakan oleh Peter Davis) yang berasal dari UK. Lebih-lebih lagi situasi ini menjadi rumit dengan kehadiran kawan Joe iaitu Nik (dijayakan oleh Mark Adam) yang sering mengganggu pelan Joe untuk merosakkan reputasi Adira (dengan cara yang tak sengaja).

Pada masa yang sama, ayah Adira, Datuk Rahim (dijayakan Oleh Shahruddin Thamby) telah memaksa anak rakanniaganya, Zul (dijayakan oleh Amai Kamarudin) segera ke Langkawi untuk memikat hati Adira, kerana dia inginkan Zul untuk menjadi menantunya.

Siapakah yang akan berjaya? Adira? Joe? Nik? Zul? Atau Ben?

Nantikan tayangan 7 Hari – Kisah Cinta Langkawi pada 31hb Oktober 2019 di pawagam seluruh Malaysia.




Archives