Tiz Zaqyah Cemburu Dengan Intan Najuwa?

 

Pelakon cantik Tiz Zaqyah cemburu lihat Zul Ariffin dan Intan Najuwa mesra? Mungkin Tiz Zaqyah sukakan Zul Ariffin, tetapi Zul Ariffin lebih tertarik pada Intan Najuwa. Para peminat mereka jangan risau… cinta tiga segi di antara mereka hanyalah watak lakonan mereka dalam drama terbaharu arahan sutradara terkenal Osman Ali di slot Akasia iaitu Setelah Kudimiliki mulai 29 Oktober ini. Drama adaptasi novel oleh Zaza Qry ini turut dibantu oleh Kuza, Aleza Shadan, Lia Natalia, Adeline Tsen,  Rahhim Omar, Zaki Azeman, Fahmi Reza, Zulhelmy dan ramai lagi.

Drama 28 episod  ini mengisahkan mengenai konflik cinta di antara Sarra (Intan Najuwa) dan Adriz (Zul Ariffin) yang diuji dengan pelbagai dugaan. Kerana dosa silamnya, Sarra dihalau ibunya dan membawa diri ke Pulau Langkawi tanpa arah tuju.  Sarra bernasib baik apabila dia diperkenalkan kepada Bonda Ummi (Kuza) dan ditawarkan bekerja di sebuah pusat perlindungan yang diberi nama Rumah Azirah. 

Pertemuan semula yang tidak diduga dengan Adriz di Rumah Azirah membuatkan hati Sarra berdegup kencang. Akan tetapi, Adriz tidak mengenalinya langsung kerana dia mengalami hilang ingatan disebabkan kemalangan lalu. Sebelum ditimpa kemalangan, Adriz merupakan seorang yang liar dan suka berfoya-foya tetapi setelah tersedar daripada koma, Adriz tidak lagi mengingati kehidupan lamanya dan perangainya juga berubah.

Encik Rahimin yang juga pengasas Rumah Azirah tidak mahu Adriz kembali kepada kehidupan lamanya, dan atas sebab itu dia membawa Adriz ke Rumah Azirah. Adriz kemudiannya membuat keputusan untuk menguruskan Rumah Azirah kerana mahu meringankan beban ayahnya yang sibuk menguruskan perniagaan lain. Adriz cuba mendekati Sarra, namun Sarra sering mengelak daripada bertemu dengannya. Tetapi semakin Sarra mengelak daripada Adriz, Adriz semakin ingin mengenali Sarra. 

0 Reviews

Write a Review