“Ikut Hati Nak Kahwin Kat Padang Bola Je…” – Joe Flizzow

Rapper terkenal Malaysia, Johan bin Ishak atau lebih popular dengan gelaran Joe Flizzow bakal menamatkan zaman bujangnya pada awal April tahun ini selepas mengikat tali pertunangan dengan teman lamanya, Marini Ramlan pada penghujung Disember tahun lalu.

Joe yang jarang dikaitkan dengan mana-mana wanita sebelum ini berkata dia sudah bersedia dari segi mental untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami tetapi menyerahkan segala urusan berkenaan majlis perkahwinannya nanti kepada ibunya, Aishah Ali yang merupakan bekas wartawan NST.

“InsyaAllah saya akan mengakhiri zaman bujang pada awal April ini…persediaan saya lebih dari segi mental dan yang selainnya saya serahkan pada ibu saya.

“Ibu saya yang lebih teruja nak terima menantu dan sudah beria-ria merancang majlis perkahwinan saya nanti. Kalau ikutkan saya nak menikah di masjid saja tapi sebab ini impian ibu saya dan dia kata ramai saudara mara dan sahabat handai nak datang, jadi apa salahnya kalau buat besar-besaran.

“Oleh itu, kami memilih Dewan Perdana Felda sebab kawan mak saya lagi ramai dari kawan saya, jadi kena cari tempat yang boleh muat lebih dari 1000 orang.

“Ikut hati buat kat padang bola je…boleh fans datang tengok saya kahwin,” ucap Joe sambil tertawa.

Joe ketika ditemui di sidang media Nusa Fest yang bertempat di Alila Bangsar, Kuala Lumpur semalam berkata dia sudah mengenali tunangnya lebih kurang 10 tahun dan tunangnya amat memahami kerjaya Joe yang sentiasa sibuk.

“Sebenarnya sehari selepas majlis saya nanti, saya dapat tawaran untuk menjayakan sebuah show di Indonesia tapi takkan lepas kahwin terus nak ciao (pergi)?  Apa-apapun tunang saya faham kalau saya bekerja macam mana, cuma lepas ni kena tolak ansur lah.

“Tak ada sebab spesifik kenapa saya pilih April untuk berkahwin. Cuma saya  kenal tunang saya dah lama, jadi saya tak nak tunggu lama-lama lagi. InshaAllah nikah dan majlis resepsi akan diadakan pada hari yang sama. One day, one place,” kata Joe lagi.

Walau bagaimanapun pemenang Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL 29) melalui lagu Apa Khabar itu memberitahu tarikh sebenarnya majlis nikah dan resepsinya nanti akan dihebahkan oleh pihak pengurusannya tidak lama lagi.

Majlis pertunangan Joe Flizzow dan Marini pada 28 Disember lalu

Kredit Foto: @zamanphotographer & IG @nynamohsen

Oleh: Del

0 Reviews

Write a Review

Read Previous

Sajat dah Gila Tahap Kiamat

Read Next

Konsert Nusa Fest Ditangguh, Tak Mahu Ambil Risiko Koronavirus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *