Bulan & Pria Terhebat Yakin Mampu Tarik Penonton Ke Pawagam

Penuh aksi dan tak kering gusi! Itulah yang dapat dikatakan selepas pratonton filem terbaru terbitan Nizra Entertainment, Astro Shaw dan Skop Productions berjudul BULAN & PRIA TERHEBAT (BPT) pada Khamis lalu di MBO Starling, Damansara Utama. Filem arahan pengarah Ghaz Abu Bakar, yang terkenal dengan filem pecah panggung, Polis Evo pada 2015 kini kembali dengan satu lagi filem aksi tetapi kini mengetengahkan pelakon cantik, tinggi lampai, Zahirah MacWilson sebagai teraju utama dan heroin di dalam filem ini.

Lakonan Zahirah juga tidak menghampakan memandangkan ini filem pertama lakonannya dan dia mengakui tidak mempunyai asas-asas seni mempertahankan diri dan terpaksa belajar seni mempertahankan diri dengan seorang jurulatih khas dari Indonesia, demi menghidupkan wataknya sebagai Bulan, seorang pelatih di dalam pasukan tentera khas Indonesia yang menyeludup masuk ke dalam sindiket pemerdagangan manusia demi mencari adiknya, Melati yang telah diperdaya dan dibawa ke Malaysia untuk dijadikan gadis liburan.

Bulan kemudian bertemu dengan Haris, lakonan Zizan Razak (35), seorang pemandu e-hailing yang sudi membantu Bulan mendapatkan kembali adiknya dari genggaman bapa ayam, Agus (lakonan Khir Rahman) dan ketuanya Ricky (Sein Qudsi).

Walaupun Zizan ataupun nama penuhnya Mohd Razizan Abdul Razak bukanlah watak utama di dalam filem ini, tetapi elemen komedi dalam wataknya sebagai Haris yang bersahabat baik dengan Arab (Belle Ngasri) dan Daud (Alif Hadi), memeriahkan filem BPT kerana aksi mereka yang bersahaja dan dialog yang melucukan berjaya menggamatkan panggung.

“Saya suka.  Sebenarnya saya first time tgk Zahirah dan first time saya tengok artis wanita Malaysia melakonkan watak aksi, saya rasa macam, Wow! Dasyatnya!

“Saya mengalu-alukan kedatangannya ke dalam industri filem Malaysia dan saya harap artis-artis wanita lain meng’idola’kan dia dan jadi macam Zahirah, sebab di Malaysia kita kehausan artis seperti itu (yang mampu membawa watak aksi), kita tak nak watak air mata sahaja, atau watak jahat sahaja, atau watak membawang..sudah-sudahlah!” kata Zizan kepada FUNTA.MY ketika ditanya pendapatnya mengenai Zahirah sebagai ‘Bulan’ dalam filem pertama lakonan aktres itu.

Selain Zizan dan Zahirah MacWilson, filem ini juga dibintangi oleh  Maya Karin, Khir Rahman, Bell Ngasri, Didie Alias, Rashidi Ishak, Alif Hadi, Mimi Ernida, Aprena Manrose, Marissa Yasmin, Sofia Dendroff, Sein Qudsi, dan Yus Noor.

Jangan lupa menonton BULAN & PRIA TERHEBAT yang akan menjengah ke pawagam pada 12 Mac ini!

Oleh: Del

Kredit Foto: Astro Shaw

0 Reviews

Write a Review

Read Previous

Bunga Citra Lestari Tempah Liang Lahad Harga RM75,000 Sebelah Kubur Suami

Read Next

Konsert Khai Bahar Ditangguhkan Kerana COVID-19

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *