Konsert Khai Bahar Ditangguhkan Kerana COVID-19

Tahun 2020 menyaksikan banyak acara seperti konsert, sukan, dan sebagainya terpaksa ditangguhkan sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19 dan Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia juga tidak terkecuali.

Konsert yang sepatutnya berlangsung pada 27 dan 28 Mac depan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) ditangguhkan demi mematuhi arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan penangguhan semua acara membabitkan orang ramai sehingga April.

Fauziah Ahmad Daud selaku penganjur konsert ini berkata, syarikatnya Ogy Ventures & Network Sdn Bhd membuat keputusan menangguhkan acara berkenaan demi keselamatan semua pihak dan berkata konsert itu bukanlah dibatalkan, namun ditunda kepada  satu tarikh baharu yang akan diumumkan selepas berbincang dengan pihak pengurusan Istana Budaya.

“Selepas berbincang dengan produksi dan sebagai mematuhi arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita setuju menangguhkan konsert ini kepada tarikh lain.

“Peminat yang sudah membeli tiket tidak perlu risau kerana konsert ini ditunda, bukan dibatalkan. Sebarang perkembangan terbaru mengenai acara ini akan saya maklum dari masa ke semasa,” katanya kepada BH Online.

Walau bagaimanapun, tidak mahu berasa hampa kerana penangguhan ini, Ogy melihat ia sebagai hikmah kepada pasukan produksi terutama sekali Khai yang sebelum ini giat berlatih dan memantapkan diri mempelajari tarian moden, tradisional dan Bollywood.

“Khai terima berita ini dengan berlapang dada.  Sekurang-kurangnya, Khai ada banyak masa lagi untuk berlatih bagi memantapkan persembahan,”kata Ogy lagi.

Konsert berskala mega itu bakal menyaksikan Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin (26) menyanyikan hampir 20 lagu popular.

Sumber: BH Online

Kredit Foto: Instagram @khaibahar94

0 Reviews

Write a Review

Read Previous

Bulan & Pria Terhebat Yakin Mampu Tarik Penonton Ke Pawagam

Read Next

Bila Sikap Ambil Kesempatan Tak Membuahkan Hasil…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *