GOGOPASAR Sumbang 5 Tan Ayam Segar Kepada Mangsa Banjir di Pahang.
Penyanyi popular dan juga juara Gegar Vaganza musim ke-4, Aishah atau nama penuhnya Wan Aishah binti Wan Ariffin mengambil keputusan untuk membuat catuan stok makanan di rumahnya semasa penularan wabak Covid-19 yang kini secara tidak langsung telah melumpuhkan ekonomi dunia.
Perkara ini dikongsi oleh pelantun lagu Janji Manismu itu melalui satu entri di akaun Instagram peribadinya kerana bimbang dengan perkembangan terkini Covid-19 terutamanya di Malaysia.
“Reality kicks in! Dengan semakin banyak kematian mangsa Covid-19, saya berasa amat takut! Ngeri…
“Hari ini, saya ambil keputusan untuk mencatu stok makanan di dalam rumah kami. Ini bukanlah masa nak suka-suka masak macam nak raya pula,”tulis Aishah.
Aishah berkata dia berpendapat sedemikian kerana jika makanan tidak dicatu di rumah, stok makanan akan kehabisan dengan cepat dan akhirnya, ketua keluarga harus keluar untuk membeli barang-barang keperluan dengan lebih kerap. Ini akan mendedahkannya kepada jangkitan Covid-19.
“Kenapa saya kata begitu? Kalau kita, ibu-ibu asyik masak macam-macam, sudah tentu barang keperluan kita cepat habis.
“Maka ketua keluarga terpaksa keluar untuk membeli barang makanan. Ini bermakna kita meletakkan suami/anak/ketua keluarga kita dalam risiko jangkitan Covid-19.
“Anggaplah bila kita minta ketua keluarga pergi membeli barang keperluan kita menghantar mereka ke medan ‘perang’.
“Sanggup ke kita senang-senang je mintak mereka keluar pasal kita nak makan sedap-sedap..Jadi hari ni kami panaskan ‘rezeki’ semalam, juga nasi gorengn dengan nasi lebih semalam.
“Ikan bilis goreng dan serunding memang sentiasa ada sejak kebelakangan ni. Ikan pun ikan goren kelmarin,” katanya lagi.
Aishah juga menasihatkan mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai supaya mengamalkan catuan setiap hari dan memberitahu mereka apa yang boleh dimakan untuk hari tersebut supaya masing-masing bertanggungjawab untuk memastikan mereka tidak makan mengikut nafsu.
“Yang ramai anak di rumah tu, mungkin boleh ‘catu’ makanan setiap hari, mungkin kita kumpulkan makanan yang boleh dimakan untuk hari ni saja.
“Umumkan pada ahli keluarga boleh makan banyak itu saja untuk hari ni, secara otomatik kita akan berpada-pada bila makan tu, bukannya makan seperti tiada hari esok okey,” jelas Aishah.
Jelas Aishah, ini adalah masanya untuk mencari idea bernas dan kreatif dengan cuba menggunakan bahan paling minimum dalam resepi masakan masing-masing supaya pembaziran tidak berlaku.
“Yang pandai memasak mungkin boleh kongsi resipi makanan yang menggunakan bahan paling kurang. Kalau kita amalkan ini, kurang keraplah orang tersayang kita terpaksa keluar buat masa ini.
“Juga ia boleh menimbulkan rasa ’empathy’ kepada kawan-kawan kita yang kurang kemampuan. Saya percaya ramai yang kreatif, jom kita reka resepi murah dan mudah untuk keluarga kita,” tambah Aishah.
Betul juga kata Aishah. Lagi cepat bahan keperluan habis, lagi kerap ketua keluarga harus keluar membeli stok makanan dan jika ketua keluarga terdedah kepada jangkitan virus Covid-19, sudah tentu seluruh ahli keluarga turut terdedah.
Apa kata kita ambil saranan Aishah dengan hati yang terbuka. Mungkin inisiatif kita memasak makanan yang sedap-sedap hanyalah berniat untuk menggunakan masa berharga yang jarang kita peroleh ketika bekerja untuk memasak lauk pauk kegemaran suami dan anak-anak.
Apa-apapun, dalam agama Islam kita sentiasa diingatkan supaya mengamalkan sifat ‘wasatiah’ (moderation) dalam kehidupan dan ini merangkumi sifat beserdehana dalam pemakanan juga.
Setakat ini, terdapat 123 kes baharu di Malaysia dan ini menjadi total kes keseluruhan seramai 1306 orang dan jumlah kematian akibat jangkitan Covid-19 adalah seramai 10 orang dan jumlah kes dijangka akan meningkat lagi.
Oleh itu, jaga diri dan keluarga masing-masing dan sentiasa amalkan kebersihan dengan membasuh tangan dan badan dengan sabun dengan lebih kerap jika ada terdedah dengan persekitaran luaran.
Oleh: Del
Kredit Foto: Instagram @aishahjmm