Black Hanifah Terpaksa ‘Menunjuk’ Untuk Tutup Mulut Netizen

Dua tiga hari ini panas betul media sosial setelah Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat daripada penularan wabak COVID-19.

Artis Malaysia seperti Black Hanifah, Tomok dan Shuib Sepahtu adalah di antara golongan artis yang  menjadi bahan kutukan dan amukan netizen contohnya seperti di Twitter apabila menyuarakan pendapat tentang nasib golongan artis yang seolah-olah tidak dibela di dalam pakej PRIHATIN tersebut.

 

Walau bagaimanapun, penyanyi Black Hanifah atau nama sebenarnya Mohd Hanifah Md Hanafiah mengatakan kenyataannya di salah ertikan oleh netizen dan oleh itu, dia mendapat kutukan berbakul di akaun media sosialnya.

“Saya bukan minta duit untuk bantu saya, tetapi rakan selebriti yang tidak berkemampuan.  Salah ke saya menyuarakan pandangan apabila mengetahui rakan selebriti kekurangan sumber pendapatan.  Saya hanya nak bantu meringankan beban mereka, itu sahaja.

“Netizen menilai luaran…Suara saya mewakili sahabat lain kerana ada yang bergantung pada persembahan kecil untuk menyara hidup.

“Tak semua selebriti hidup mewah seperti yang disangka.  Saat bergelak ketawa dan seronok dengan hasil lakonan, nyanyian, petikan gitar, kami dipuji.

“Tetapi, apabila kami memerlukan bantuan dalam keadaan seperti ini, kami dikeji dan dikejam,” katanya kepada BH Online.

Black bagaimanapun mengakui bernasib baik kerana dia mempunyai simpanan, hasil titik peluhnya selama berada di dalam industri seni.

Menyedari ramai yang lain tidak bernasib baik, Black memutuskan untuk tidak mengutip sewa bagi bulan April kepada individu-individu yang menyewa rumah-rumah miliknya.

Menurut Black, perkongsiannya di akaun instagram miliknya bukanlah untuk menunjuk-nunjuk, namun dia terpaksa berbuat demikian demi menutup mulut segelintir netizen yang mengambil tidak habis-habis mengecamnya hanya kerana menyuarakan pendapat.

“Sampai kena buat macam ni nak kasi korang faham, ni jangan cakap saya nak menunjuk pulak. Saya bersuara untuk yang memerlukan, contoh macam penyewa saya ni, saya tolong dengan cara macam ni.

“Walaupun tak banyak, saya yakin kurang sikit bebanan dorang.  Kenyataan saya haritu pulak, saya bersuara untuk penggiat seni.

“Bagi yang nak hantar beras susu anak saya, nak bank in duit pada saya, cakap saya takda duit, itu semua tak perlu!

“Tapi kalau bagi boleh la bagi untuk penggiat seni yang memerlukan pula. Ini bukan riyak, ini jalan terakhir untuk bagi netizen faham.

“Akan ada lagi kecaman tapi aku tetap akan terus berjuang untuk penggiat seni,” tulis Black sebagai kapsyen.

Apa-apa pun, netizen dan warga Malaysia secara keseluruhannya harap bertenang. Kita berada di dalam satu situasi yang tidak pernah berlaku di negara kita, sehinggakan terpaksa ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kemungkinan besar akan dilanjutkan demi menangani wabak COVID-19 ini.

Kerajaan sudah berjanji akan membantu sedaya upaya mereka yang terkesan dan sudah tentu golongan artis tidak terkecuali lebih-lebih lagi jika mereka dikategorikan bawah B40, betul tak?

Ataupun, jika kita tahu ada sesiapa di dalam masyarakat sekeliling kita yang memerlukan bantuan kewangan, makanan atau ubat-ubatan…tak perlu tunggu bantuan kerajaan.

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita sendiri boleh bantu setakat mana yang mampu demi kesinambungan hidup masing-masing. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Kredit: BH Online, Instagram @black.hanifah

 

 

0 Reviews

Write a Review

Read Previous

Sifat Dermawan Taylor Swift, Ariana Grande Disanjung

Read Next

Macam Mak Marah Anak, Datuk Rizalman Geram Dengan Orang Yang ‘Buta Perut’!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *