Walaupun kerajaan sudah memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Kedua dan melarang rakyat Malaysia untuk keluar rumah tanpa keperluan penting seperti mendapat rawatan doktor atau membeli barang dapur, masih ramai yang tidak mengambil endah saranan kerajaan.
Justeru itu, tindakan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang memuat naik gambar virus COVID-19 yang bertindih memenuhi ruang udara di persekitaran Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di laman Facebooknya semalam, menerima reaksi positif dari netizen.
“Jika anda dapat lihat virus COVID-19 menular dan terzahir seperti ini, adakah anda akan keluar rumah?
“Buat keputusan bijak. Duduk di rumah. Putuskan rantaian COVID-19,” tulisan yang tertera di atas gambar tersebut.
Gambar itu telah dikongsi sebanyak lebih 9,600 kali oleh pengguna Facebook dan mendapat 30,000 tanda ‘like’.
Rata-rata ramai yang memuji kreativiti Kementerian Kesihatan Malaysia dan berharap ia mampu memberi lebih kesedaran kepada rakyat Malaysia yang masih kurang faham betapa bahayanya wabak COVID-19 ini.
Sumber: BH Online dan Facebook @DGHisham