‘Terlajak Subuh’ Komedi Santai Sarat Dengan Nasihat

Kembara Sufi Production kini kembali lagi dengan telefilem terbaru berjudul ‘Terlajak Subuh’ yang dijadualkan untuk tayangan di RTM 1 esok, 1 Mei 2020 sempena Hari Pekerja tetapi difahamkan tarikh tayangan terpaksa ditundakan pada satu tarikh yang baru tidak lama lagi.

Sayang sekali, kerana mesej yang cuba disampaikan di dalam telefilem itu  amat bersesuaian dengan tema Hari Pekerja kerana ‘Terlajak Subuh’ mengisahkan sikap dua orang geladangan  yang berangan-angan menjadi kaya tetapi malas berusaha.

“Penggambaran dijalankan di sekitar bandar Kuantan dan Temerloh dan telefilem ini menggunakan dialek Pahang sepenuhnya.  Pelakon-pelakon yang diambil juga berasal dari negeri Pahang, kecuali Bell Ngasri,” kata penerbit, Jaja Ishak kepada FUNTA.MY.

Menurut Jaja, telefilem ini dibuat khas sempena dengan Hari Pekerja kerana ia sarat dengan mesej berbentuk tauladan yang boleh diambil melalui dialog antara pelakon-pelakon.

“Terlajak Subuh mengisahkan dua orang sahabat iaitu Zam (Bell Ngasri) dan Mat (Lan Siro) yang merupakan geladangan yang tinggal di bandar Kuantan yang ingin menjadi kaya, tetapi tak mahu berusaha, tak bertanggungjawab, dan suka bangun lewat.

“Mak ayah kita dulu-dulu ajar kalau nak rezeki murah, kenalah bangun awal…tapi dua orang sahabat ni setiap hari bangun lambat dan selalu terlajak Subuh, maknanya permulaan hari dalam kehidupan mereka pun dah tak baik.

“Satu hari mereka terjumpa seorang mualaf yang berjaya, yang mengajar mereka bagaimana nak menjalankan kehidupan dan pertama sekali ialah sentiasa bangun untuk solat Subuh.

“Akhirnya mereka menjadi orang yang berjaya sehingga mampu mengajak kawan-kawan geladangan yang lain untuk bekerja dengan mereka iaitu dalam perusahaan kolam sangkar ikan patin di Temerloh,” kata Jaja lagi.

Telefilem arahan Isma Yusoff, merupakan kerjasama keempat di antara pengarah itu dengan team produksi Kembara Sufi.

Sebagai penerbit dan anak jati Pahang, Jaja berasa bangga kerana mampu mengetengahkan keindahan, dialek dan budaya rakyat Negeri Pahang dan berterima kasih kepada pihak RTM kerana memberi kebebasan untuk mereka mempromosikan Negeri Pahang di dalam telefilem tersebut.

Selain Bell dan Lan Siro, ‘Terlajak Subuh’ juga dibintangi oleh Zetty Mentor dan Razak Ahmad.

 

0 Reviews

Write a Review

Read Previous

Boleh Keluar Berdua Dalam PKP 4 Tapi…

Read Next

“Ramadan Yang Istimewa Walaupun…” -Fattah Amin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *