Pendakwah Datuk Ismail Kamus Meninggal Dunia

Pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Perkara itu disahkan menerusi laman Facebook rasmi pendakwah berkenaan.

“Dukacita dimaklumkan Tuan Guru Datuk Ismail Kamus meninggal dunia sebentar tadi. Al-Fatihah,” menurut kenyataan di Facebook itu.

Sementara itu, laman Facebook Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dibanjiri dengan ucapan takziah daripada orang ramai yang turut berkongsi rasa sedih dengan pemergian Allahyarham.

Ia turut memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman di Ampang, dekat sini, pada jam 12.30 tengah malam tadi.

“Semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham di tempat yang mulia di sisi Allah SWT,” katanya.

Menurut EXCO Penerangan Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia, Abdul Hadi Jusoh, veteran Pas itu dimasukkan ke wad sejak 26 April lalu disebabkan keadaan kesihatan yang agak lemah.

Allahyarham merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia selama sepenggal pada 1999 hingga 2004 dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Pendakwah itu kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari sama dan didapati terdapat jangkitan di bahagian paru-paru.

Pada 9 Mei tahun lalu, Allahyarham yang juga Pengasas dan Penasihat Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dilaporkan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat, Kuala Lumpur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan As-Sobirin, pagi ini.

Salam takziah kami ucapkan pada keluarga Datuk Ismail Kamus atas kehilangan insan yang disayangi dan semoga tabah menghadapi dugaan ini.

Perginya pendakwah yang disegani ini pada hari Jumaat dan dalam bulan Ramadan yang mulia adalah sesuatu yang diidamkan semua muslimin dan muslimat yang ingin mengecapi husnul khotimah apabila tiba masa untuk pergi buat selama-lamanya.

Kredit: BH Online & Facebook Ismail Kamus

0 Reviews

Write a Review

Read Previous

Da’i Farhan Ulang Sejarah, Cerai Isteri Ketika Hamil

Read Next

PKPB Dilanjutkan Hingga 9 Jun, Aktiviti Balik Kampung Tidak Dibenarkan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *