PKPB Dilanjutkan Hingga 9 Jun, Aktiviti Balik Kampung Tidak Dibenarkan

Rakyat Malaysia sudah tentu ternanti-nanti pengumuman khas Perdana Menteri sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilanjutkan atau tidak memandangkan Hari Raya Puasa bakal kunjung tiba dan ramai yang berharap agar dapat pulang ke kampung halaman untuk berhari raya.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sahaja mengumumkan PKPB akan dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun ini, malah rakyat masih tidak dibenarkan merentas negeri untuk menyambut hari raya.

Jelasnya, keputusan itu dibuat setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamata Negara (MKN).

“Walaupun kita telah mencapai banyak perkembangan positif dalam usaha memerangi wabak COVID-19, usaha kita masih belum berjaya sepenuhnya,” jelas beliau menerusi perutusan khas petang tadi.

Namun demikian, kerajaan masih membenarkan aktiviti ziarah keluarga dan jiran terdekat dalam negeri yang sama tetapi menghadkan jumlah maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

Perdana Menteri berkata kelonggaran itu diberikan kepada rakyat yang bakal menyambut tiga perayaan sepanjang PKPB iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Keamatan dan Hari Gawai.

“Jadi tak perlu lah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka.  Setiap keluarga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan seperti penjarakan sosial (social distancing), pemakaian penutup mulut dan hidung (mask), dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) sepanjang sambutan perayaan ini.

“Pastikan rumah sentiasa bersih.  Basuh pinggan mangkuk, sudu, garpu, periuk belanga dan lain-lain selepas digunakan untuk menjamu tetamu yang hadir,” katanya lagi.

Kredit: Astro Gempak

Kredit Foto: Instagram @beritaharian

Read Previous

Pendakwah Datuk Ismail Kamus Meninggal Dunia

Read Next

Penangan Video Masakan Sugu Pavithra, Pasangan Jepun Belajar Masak Kari Ayam!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *