“Jangan Salahkan Penyunting…”- Ayda Jebat Mohon Maaf Pada Penonton

Drama bersiri Bukan Gadis Biasa terbitan JS Pictures sentiasa dinanti-nantikan peminat drama tempatan sejak disiarkan pada 23 April lalu kerana menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Ayda Jebat, Remy Ishak, Nizam Othman dan Sheila Rusly.

Walau bagaimanapun, drama bersiri ini menjadi bualan netizen apabila teknik suntingannya dikritik teruk  sehingga disamakan dengan kerja budak sekolah, sedangkan penerbit JS Pictures adalah satu nama yang gah dalam bidang penerbitan.

Tidak mahu menuding jari terhadap mana-mana pihak, tunggak utama drama Bukan Gadis Biasa, Ayda Jebat tampil memohon maaf kepada semua penonton kerana padanya kelemahan dalam proses suntingan adalah tanggungjawab semua kerana mereka bekerja sebagai satu pasukan.

“Saya mohon maaf jika ada penonton yang kurang senang dengan perkara itu. Saya akui penonton sekarang semakin bijak dan boleh melihat sendiri kelemahan yang berlaku. Saya mohon jangan salahkan editor atau penyunting semata-mata kerana pada pendapat saya, semuanya harus bekerjasama.

“Saya salahkan diri sendiri. Kadang-kadang, sebagai pelakon, saya terlupa menjaga konti atau kesinambungan lakonan saya.  Sekejap berdiri, sekejap duduk.  Kru yang menjaga konti juga mungkin terlepas pandang.  Akhirnya, penyunting pun tak boleh nak buat apa dan mereka harus menyunting drama itu menggunakan visual sedia ada,” katanya kepada Harian Metro.

Namun demikian, Ayda tetap bersyukur kerana drama bersiri lakonannya itu masih disambut baik oleh penonton, walaupun tidak sempurna.

“Alhamdulillah, drama bersiri ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan apabila kekal trending setiap kali bersiaran.  Saya bersyukur kerana masih ramai penonton yang mengambil mesej positif dalam drama bersiri ini untuk dijadikan teladan dan contoh.  Segala yang baik datang dari Allah dan segala yang kurang itu datang dari saya sendiri,” katanya lagi.

https://www.instagram.com/p/CAHrOQUAn72/?igshid=h6sd3zx7pb21

Kredit: Harian Metro

0 Reviews

Write a Review

Read Previous

Sugu Pavithra Mangsa Buli Siber?

Read Next

Lisdawati Tak Mahu Gambar Lama Sewaktu Jahil Jadi ‘Saham’ Dosa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *