“Gaji YouTube Pertama Saya RM900 Sahaja,” -Sugu Pavithra Sangkal Dakwaan Mendapat Ribuan Ringgit

Populariti bintang YouTube, Sugu Pavithra (28)  memang diketahui umum. Baru-baru ini, pasangan suami isteri keturunan India ini turut mendapat perhatian daripada Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beliau telah menghadiahkan pelbagai barang keperluan dapur, termasuk sebuah tripod untuk kegunaan mereka.

Walau bagaimanapun, dengan populariti yang kian meningkat, ada pihak yang mendakwa Sugu Pavithra menerima jumlah pendapatan yang lumayan sebagai rakan YouTube dan dikatakan jumlah tersebut mencecah ribuan ringgi.

Namun, dakwaan ini disangkal oleh Pavithra yang baru sahaja menerima bayaran gaji pertamanya sebanyak RM900 sahaja menerusi video-video masakannya yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya.

“Baru hari ini (semalam) saya pergi ambil gaji pertama.  Saya lama tak pergi ambil sebab tak tahu prosedur untuk mendapatkan bayaran tersebut.

“Gaji YouTube pertama saya RM900 sahaja. Apa yang keluar di YouTube dan berita-berita lain kata saya dapat beribu-ribu tu semua tipulah,” katanya kepada Gempak selepas pulang daripada membuat tuntutan bayaran daripada YouTube di Pejabat Pos Besar Ipoh, Perak semalam.

Tambah Pavithra lagi, untuk menerima bayaran lumayan sebagai rakan YouTube adalah tidak mustahil tetapi memerlukan komitmen yang tinggi dan mereka terpaksa menghasilkan jumlah video yang banyak untuk sampai ke tahap itu.

“Saya ini baru mula buat YouTube. Mungkin orang nampak saya ramai subscriber sehingga beratus-ratus ribu.   Tapi untuk dapat bayaran beribu saya kena buat video beratus-ratus.

“Sekarang ini video saya pun baru berapa puluh sahaja.  Mungkin selepas ini baru gaji akan lebihlah,” jelasnya lagi.

Buat masa ini, Pavithra mengatakan dia hanya mampu menghasilkan empat hingga kelima video sahaja dalam seminggu.

Kisah Pavithra yang merakamkan video masakan resepi yang enak dan mudah difahami dalam bahasa Malaysia yang fasih berjaya mencuri perhatian ramai, termasuklah bangsa asing yang tidak memahami bahasa Malaysia dan sanggup menggunakan Google Translate untuk belajar cara-cara memasak sepertinya.

Sikap Pavithra yang merendah diri dan berniat untuk membantu suaminya, M. Sugu yang bekerja sebagai buruh ladang bukan sahaja menerima pujian dan perhatian Perdana Menteri, tetapi mereka juga dihampiri oleh syarikat-syarikat besar seperti FGV Holdings yang menghadiahkan mereka barang-barang keperluan keluaran syarikat itu untuk memberi semangat dan dorongan supaya mereka akan terus teruja untuk berkongsi resepi dan tips dengan umum, di samping menjana pendapatan keluarga.

Kredit: Astro Gempak & YouTube @sugupavithra

0 Reviews

Write a Review

Read Previous

Lisdawati Tak Mahu Gambar Lama Sewaktu Jahil Jadi ‘Saham’ Dosa

Read Next

Fauziah Latiff Rujuk Media Sosial, Cari Resepi Dalam Bulan Ramadan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *