Penyanyi Black Hanifah atau nama sebenarnya Hanifah bin Md Hanafiah (33) mengejutkan orang ramai apabila memuat naik video kereta miliknya yang remuk akibat terbabit dalam kemalangan di Instagram, semalam.
Di dalam video tersebut, bahagian hadapan kereta kelihatan remuk dan kemalangan berlaku dalam keadaan cuaca yang sedang hujan.
Black bagaimanapun, tidak berada di lokasi kemalangan kerana kereta miliknya itu dipandu oleh salah seorang kakitangannya yang dikenali sebagai Angah.
Menurut Black kemalangan itu berlaku di sekitar Bandar Sunway, Petaling Jaya ketika Angah dalam perjalanan pulang selepas membeli meja untuk pejabat.
Walau bagaimanapun, Black bersyukur kerana Angah selamat dari sebarang kecederaan walaupun keretanya rosak teruk kerana menurutnya lagi, kereta boleh dibaiki.
“Angah yang pandu kereta itu, bukannya saya. Saya kini berada di Pulau Pinang. Syukur Angah selamat walapun kereta rosak teruk,” katanya kepada Harian Metro.