Bintang Hollywood yang juga isteri kepada pelakon popular, John Travolta iaitu Kelly Preston dilaporkan meninggal dunia akibat kanser payudara selepas dua tahun bertarung dengan penyakit itu.
Berita yang mendukacitakan itu dikongsi oleh Travolta menerusi kemas kini di Instagram beberapa jam lalu.
“Dengan hati yang berat, saya memaklumkan bahawa isteri saya Kelly tewas dalam pertarungan selama dua tahun melawan kanser payudara.
“Dia telah bertarung dengan tabah dengan adanya sokongan dan kasih sayang dari ramai orang. Saya dan keluarga akan sentiasa bersyukur dengan barisan doktor dan jururawat di MD Anderson Cancer Center, semua pusat perubatan yang telah membantu, serta sahabat dan ahli keluarga yang selalu berada di sisinya. Kami akan sentiasa mengingati kasih sayang dan hidup Kelly.
“Saya akan mengambil masa buat seketika untuk berada di sisi anak-anak yang baru sahaja kehilangan ibu, jadi maafkan saya sekiranya anda tidak mendengar sebarang berita dari kami buat sementara waktu.
“Tapi percayalah, saya akan merasai kasih sayang yang dicurahkan dalam minggu dan bulan yang mendatang selama kami ambil masa untuk pulih,” katanya.
Kelly dan Travolta berkahwin hampir 29 tahun lalu dan mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata, Jett yang meninggal dunia pada usia 16 tahun, Ella Bleu (20) dan Benjamin (9).
Antara filem-filem yang pernah dibintangi Kelly adalah Jerry Maguire di samping Tom Cruise, The Cat in the Hat, Mischief dan From Dusk Till Dawn. Kelly meninggal dunia pada usia 57 tahun.
Kredit: Instagram @johntravolta & The Guardian