BCL Abadikan Kenangan Bersama Arwah Suami Dalam ’12 Tahun Terindah’

Siapa yang mahu kehilangan orang yang tersayang…namun, bagi penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari atau lebih mesra disapa BCL, itulah yang terpaksa dihadapinya lebih kurang lima bulan yang lalu.

Pemergian mengejut suami tercinta, Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia akibat serangan jantung, Februari lalu membuatkan BCL dan anak mereka, Noah Aidan Sinclair terlalu merindui arwah, lebih-lebih lagi memandangkan usia perkahwinan yang mencecah 12 tahun, banyak kenangan yang dibina bersama.

Oleh itu, BCL memilih untuk mengabadikan kenangan 12 tahun bersama Ashraf di dalam single baharu berjudul ’12 Tahun Terindah’ ciptaan bersama BCL dan Ifa Fachir yang menterjemahkan apa yang dirasai BCL selepas kehilangan suami tercinta.

“Lagu ini menceritakan mengenai kebingungan saya menghadapi hari-hari baharu.  Di saat hidup berubah dalam waktu yang begitu cepat, tanpa peringatan dan mahu tidak mahu, harus tetap dijalani.

“Pada momen kehidupan ini, saya berusaha melihat lagi tahun-tahun yang sudah saya lalui bersama Ashraf.  Saya bersyukur kerana Tuhan memberikan saya 12 tahun terindah bersama Ashraf.

“Melalui suka dan duka dalam cinta, yang membuat saya percaya kalau cinta itu ada,” luahnya yang pertama kali berkecimpung dalam penulisan lirik, atas dasar kasih dan sayang yang tidak pernah luput terhadap Ashraf.

Menurut BCL lagi, akibat penularan COVID-19 dan pengamalan norma baharu dalam kehidupan sehari-hari, rakaman single berkenaan dilakukan sepenuhnya di dalam studio yang dibina di rumahnya.

“Banyak perkara baharu yang saya pelajari ketika menghasilkan single ini.  Bermula dengan proses penciptaan lagu, merakam demo, perbincangan kreatif hinggalah proses memasukkan vokal.

“Semuanya saya lakukan sendiri di studio yang dibina di rumah.  Pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini tidak akan menghentikan semangat saya untuk kembali berkarya,” ujarnya.

https://youtu.be/EKB9Mftcetg

 

Single 12 Tahun Terindah diterbitkan di bawah label BCL sendiri iaitu BASH Music Company dan video muzik single tersebut sudah mencecah hampir 5 juta tontonan sejak disiarkan di saluran YouTube mulai semalam.

Jangan lupa tonton video muzik 12 Tahun Terindah dan bawa tisu sekotak ya?

Kredit: BH Online & Instagram @bclsinclair

0 Reviews

Write a Review

Read Previous

Joe Flizzow, Marini Pilih Langkawi

Read Next

Niki Minaj Sahkan Berbadan Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *