Ernie Bergelar Tunangan Syamel

Desas-desus tentang hubungan istimewa dua penyanyi popular, Ernie Zakri dan Syamel bukanlah perkara yang baharu tetapi apabila ditanya mereka hanya berkata hubungan sekadar ‘teman rapat’ sahaja.

Detik perkenalan mereka bermula apabila keduanya menyertai program realiti, Duo Star, tiga tahun lalu dan memenangi hadiah tempat pertama iaitu RM100,ooo.00.

Kini hubungan yang terjalin, memasuki fasa seterusnya apabila Syamel dan Ernie mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada Sabtu, 15 Ogos 2020 di kediaman keluarga Ernie.

“Majlis pertunangan kami berlangsung semalam, ia dihadiri oleh ahli keluarga sahaja, kami tidak mengundang rakan-rakan rapat sekalipun kerana menunaikan permintaan keluarga yang mengutamakan privasi.

“Untuk soal percintaan pula, lebih baik jika saya tunggu selepas bernikah nanti, adalah lebih manis sebegitu,” katanya dipetik Gempak.

Memetik laporan BH Online pula, Syamel atau nama penuhnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly meluahkan rasa syukur kerana majlis berjalan lancar dan dia kini bergelar tunangan orang.

“Alhamdulillah, saya gembira impian mahu menyunting Ernie sebagai bakal isteri akhirnya dimakbulkan.  Saya gementar juga apabila mengenangkan alam pertunangan ini banyak dugaan seperti yang sering diperkatakan.  Saya akui perkara inilah yang amat ditakuti.

“Namun insya-Allah, saya dan Ernie akan menjaga diri dan batas pergaulan.  Kami takkan berjumpa selalu.  Apa yang diharapkan, doa peminat bukan sahaja hubungan ini sampai ke jenjang pelamin, malah kekal hingga ke akhir hayat,” kata pelantun lagu ‘Curang’ itu.

Menurut Ernie, sebelum ini mereka lebih selesa dikenali sebagai kawan rapat kerana hubungan mereka masih belum ada kepastian. Mengikut perancangan, majlis perkahwinan akan diadakan pada tahun hadapan, namun mereka masih belum memutuskan tarikhnya.

“Kami merancang untuk kahwin tahun hadapan, apabila sudah pasti tentang tarikh majlis, Insya-Allah kami akan maklumkan,” jelas Ernie.

Pada majlis pertunangan itu, pihak Syamel menyerahkan tiga dulang hantaran dan Ernie membalas dengan lima dulang. Kedua-duanya kelihatan cantik dan tampan memakai busana sedondon berwarna kelabu.

Kredit: Gempak, BH Online, Instagram @erniezakri & @syamel_official

0 Reviews

Write a Review

Read Previous

Lee Min Ho Ambil Tindakan Terhadap Pembuli Siber

Read Next

Dayah Bakar Reda Bersalin Tanpa Suami

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *