Bimbang Keselamatan Peminat, Umbrella Batal Showcase 25 Tahun

Video muzik single terbaharu kumpulan Umbrella yang berjudul ‘Hilang’ telah meraih lebih 300 ribu tontonan dalam masa satu bulan menggambarkan penerimaan peminat-peminat dengan kemunculan semula kumpulan popular zaman 90an itu.

Namun dalam kesibukkan mempromosikan lagu terbaharu ini, perjalanan seni Umbrella diduga dengan gelombang kedua penularan wabak Covid-19 lantas melumpuhkan banyak perancangan yang telah mereka atur sepanjang tahun ini untuk peminat-peminat mereka.

Menurut pengarah urusan Umbrella Music, Dato Rizal Shah, Umbrella sepatutnya akan mengadakan sebuah sidang media pada bulan ini, bagi mengumumkan mengenai ‘Showcase 25 Tahun Umbrella’ yang telah dirancang untuk berlangsung pada bulan Disember nanti.

Namun memandangkan kadar kes positif jangkitan Covid-19 semakin naik kian hari, pihak pengurusan Umbrella telah memutuskan untuk membatalkan sidang media dan showcase berkenaan buat masa ini.

Dato Rizal Shah memberitahu keputusan yang diambil ini amat berat bagi pihak pengurusan dan Umbrella memandangkan banyak persiapan yang telah dibuat demi menaikkan semula populariti dan kerjaya seni Umbrella.

Biarpun sedih dengan pembatalan showcase sambutan ulangtahun ke dua puluh lima penubuhan Umbrella, Saiful, pemain drum Umbrella, menyifatkan ini adalah langkah terbaik buat semua pihak yang terlibat terutamanya buat peminat-peminat Umbrella yang sememangnya menantikan persembahan daripada mereka. Saiful merupakan orang yang bertanggungjawab menyatukan kesemua ahli asal Umbrella untuk kemunculan semula Umbrella dalam arena seni hiburan tanah air.

Selain Saiful, gitaris Umbrella bernama Hafiz turut menzahirkan kebimbangannya yang khuatir jika terdapat kluster baharu yang wujud dikalangan peminat-peminat yang hadir sekiranya showcase mereka tetap dianjurkan.

Bagi vokalis Umbrella, Zarul, biarpun showcase dibatalkan, kesempatan yang ada sepanjang berlangsungnya perintah kawalan pergerakkan bersyarat di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya digunakan sebaik mungkin oleh setiap ahli Umbrella untuk berlatih bagi memperbaiki mutu persembahan mereka di masa hadapan.

Selaku pemain bass Umbrella, Rizal berharap keadaan ekonomi akan kembali pulih apabila vaksin Covid-19 terhasil nanti. Tambah Rizal, dia menyeru agar penganjur- penganjur acara akan terus memberikan peluang kepada Umbrella untuk membuat persembahan bagi memeriahkan acara mereka selepas ini.

Selain mengumumkan pembatalan ‘Showcase 25 Tahun Umbrella’, Dato Rizal Shah turut berkongsi berita baik buat peminat-peminat Umbrella dan kumpulan-kumpulan muzik zaman 90an, bahawa pihak Umbrella Music turut merancang mengadakan sebuah konsert ‘Umbrella & Friends’ pada tahun 2021 nanti. Menurut beliau persiapan untuk konsert tersebut masih lagi di peringkat perbincangan dan Umbrella Music bakal membuat pengumuman rasmi mengenainya pada awal tahun 2021 nanti.

 

Read Previous

Angka Jangkitan Melonjak, Janna Nick Takut Nak ‘Shooting’

Read Next

Bersalin Lebih Awal, Farah Nabilah Timang Cahaya Mata Lelaki

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *