Komposer A.Ali Meninggal Dunia Dalam Tidur

A. Ali, komposer dan salah seorang anggota kumpulan Kembara, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pagi Sabtu, 21 November 2020 pada usia 71 tahun di kediamannya di Kajang.

Memetik laporan Astro Gempak, berita yang mendukacitakan itu dimaklumkan oleh anaknya menerusi pesanan WhatsApp yang dihantar kepada pihak media bahawa bapanya kembali ke Rahmatullah dalam keadaan tidur.

Anak arwah juga memaklumkan pihak media bahawa pada saat ini, jenazah ayahnya berada di Hospital Kajang dan akan dibawa pulang ke rumah di Taman Harmoni, Bandar Teknologi Kajang, Semenyih.

“Jenazah sekarang berada di Hospital Kajang untuk urusan bawa balik ke rumah.  Semoga roh arwah ayah saya dicucuri rahmat dan ditempatkan disisi orang yang beriman,” katanya lagi.

Allahyarham A.Ali atau nama sebenarnya Hamdan Atan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang selepas waktu Zohor.

Arwah meninggalkan seorang isteri, Latifah Khamis dan sembilan orang anak.

Memetik laporan BH Online, arwah dan isteri sempat solat Subuh bersama dan Latifah menyedari suaminya sudah tiada, kira-kira jam 8.30 pagi dan memaklumkan anak ketiga mereka, Norhuda.

Sekadar info, A. Ali merupakan anggota asal kumpulan Kembara yang turut dianggotai oleh Datuk M. Nasir dan S. Sahlan.

Antara lagu-lagu hit yang dicipta arwah adalah seperti Diriku Terbelenggu, nyanyian Francisca Peter, Rayuanku dendangan Rohana Jalil dan lagu yang memenangi Anugerah Juara Lagu 1987 iaitu Menaruh Harapan nyanyian Zaiton Sameon.

Team Funta ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga sentiasa sabar dan redha dengan ketentuan ini.

Kredit: Astro Gempak, BH Online

 

 

 

Read Previous

Gambar Romantis Mira Filzah Dan Suami Undang Rasa Tak Puas Hati Netizen

Read Next

Alif Satar Positif Covid-19

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *