FGV Bawa “Pasar Segar Ke Pintu Rumah” Melalui Sistem e-Dagang GOGOPASAR

Anak syarikat baharu turut membuka peluang menjana pendapatan dari rumah kepada para pengguna yang ingin menambah pendapatan isi rumah

KUALA LUMPUR, 27 November 2020 –Tahun 2020 telah menampakkan peningkatan yang mendadak ke atas aktiviti pembelian melalui talian terutamannya melalui system e-dagang. Menyedari hakikat ini, FGV Holdings Berhad (FGV) bertekad membawa “pasar segar” ke pintu rumah dengan memperkenalkan sebuah system e-dagang baharu, GOGOPASAR.

GOGOPASAR adalah sebuah anak syarikat FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd, iaitu sektor baharu yang diwujudkan dengan komponen perniagaan merangkumi hasil segar, tanaman kontan, padi dan beras, makanan haiwan, haiwan ternakan dan penternakan tenusu.

Melalui GOGOPASAR, para pengguna terutamanya para suri rumah tidak perlu bersusah payah ke pasar segar kerana hanya dengan satu klik, mereka akan menerima penghantaran barangan terus ke muka pintu.

Selain menawarkan barangan segar, FGV melalui GOGOPASAR turut membuka peluang kepada mereka yang ingin menambah pendapatan dari rumah dengan menjadi usahawan e-dagang GOGOPASARb di samping membantu para petani dalam memasarkan hasil tanaman mereka dengan lebih efektif dan berdaya maju pada era digital ini.

Dato’ Haris Fadzilah Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV berkata, FGV mengorak langkah menyertai platform e-dagang secara bersepadu ini adalah merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk merialisasikan impian FGV untuk menjadi salah satu perniagaan agro bersepadu yang terkemuka di dunia.

“Tahun ini kita dapat lihat perubahan yang luar biasa dalam dinamik rantaian bekalan dan corak perbelanjaan pengguna disebabkan pandemik COVID-19. Kerjasama kami dengan GOGOPASAR akan mendigitalkan laluan FGV ke pasaran sejajar dengan Pelan Tindakan E- Dagang Kebangsaan kerajaan untuk mengembangkan perniagaan sedia ada dan memperluas akses pasaran tempatan,” kata Haris Fadzilah.

 

GOGOPASAR menyatukan tiga elemen teras – teknologi, rangkaian dan perdagangan sosial, menghubungkan kedua-dua pasaran perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan perniagaan-ke-pengguna (B2C) tanpa jumlah pesanan minimum. Pada masa ini, GOGOPASAR adalah satu-satunya peruncit maya di negara ini yang mempunyai sistem tersedia yang mengintegrasikan pembekal, gudang dan logistik, dengan menyediakan platform perniagaan runcit maya terus kepada pengguna dengan pilihan untuk penghantaran pada hari yang sama, harga terbaik di samping jaminan kualiti dan kesegaran.

GOGOPASAR juga turut memperkasakan perniagaan dua hala atas talian ke premis dan sebaliknya melalui program usahawan GOGOPRENEUR yang diharap dapat membantu mengurangkan kadar penganguran yang semakin meningkat dpada masa ini. Dengan hanya menjadi ejen Gogopreneur, usahawan GOGOPASAR dapat mensasarkan pendapatan sehingga RM4,500 sebulan hanya dengan bekerja dari rumah.

Walaupun masih baharu, ternyata sistem dan program Gogopreneur yang unik ini ternyata telah menarik minat ramai di mana setakat bulan November 2020, lebih 100 orang Gogopreneur yang dilantik telah mula menerima pesanan yang tinggi daripada kawasan kejiranan mereka.

Perkara ini telah diakui sendiri oleh Haslinda Alias iaitu Ketua Pegawai Eksekutif GOGOPASAR. Menurut beliau, urus niaga melalui applikasi dan laman web GOGOPASAR telah meningkat dengan ketara sewaktu wabak berlaku dari 10 transaksi sehari menjadi 600 transaksi sejak April 2020.

Pada masa ini perkhidmatan GOGOPASAR hanya meliputi kawasan Lembah Klang, dan jika melihat perkembangan yang memberansang ini, tidak mustahil rancangan untuk mengembangkan perniagaan di seluruh negara menjelang tahun hadapan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“GOGOPASAR mempunyai akses kepada pilihan terbaik barang-barang bekalan import dan barang-barang segar langsung dari pembekal tempatan seperti sayur-sayuran, makanan laut, daging dan ayam. Melalui rangkaian pembekal kami yang luas, yang juga termasuk petani kontrak FGV, kami di GOGOPASAR yakin dapat memastikan hanya produk segar yang dihantar kepada pengguna. Kami mensasarkan untuk meningkat 300 unit simpanan stok dan 50 pedagang menyertai kami menjelang akhir 2020,” tambah Haslinda.

Laman web GOGOPASAR www.gogopasar.com kini boleh dilayari untuk pengguna membeli barangan runcit secara dalam talian. Untuk menjadikan pengalaman membeli lebih pantas, aplikasi mudah alih GOGOPASAR untuk Android tersedia untuk dimuat turun dari Google Play Store.

 

-Tamat-

Kredit: FGVholdings.com

Read Previous

Miley Cyrus Berazam Untuk Bebas Alkohol

Read Next

Belon Gergasi ‘The Rock’ Di Macy’s Thanksgiving Parade!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *